Wanita dan Kerjaya


Masyarakat tradisional kita telah menentukan bahawa tempat wanita adalah dalam lingkungan keluarga dan rumahtangga di mana mereka dijangka memegang status tradisional sebagai isteri, anak perempuan, adik atau kakak.  Dan apabila dewasa serta berkahwin mereka akan menduduki status sebagai isteri dan ibu.

Oleh yang demikian di dalam masyarakat kita suatu ketika dahulu, setiap anak gadis diharap akan bertemu  jodoh  masing-masing  dan kemudiannya  mendirikan rumahtangga. Pola-pola sosialisasi di kalangan masyarakat kita ini telah sedikit sebanyak menyediakan anak-anak gadis untuk memainkan peranan mereka sebagai isteri dan  ibu.

Anak-anak gadis terikat dengan aktiviti-aktiviti dalam rumah. Mereka diajar membantu ibu dalam membuat kerja-kerja domestik.

Sebab itulah pada suatu ketika pada umur yang masih muda, anak-anak gadis mula diberi  tugas kecil dalam rumahtangga,  khususnya menjaga  adik-adik  yang  kecil.

Malah, anak perempuan suatu ketika adalah tidak akan dipandang tinggi jika tidak pandai menguruskan rumahtangga apabila ia sudah dewasa. Jadi  tanggungjawab dan peranan wanita suatu ketika dahulu hanyalah bermula dan berakhir di rumah.

Namun demikian pola masyarakat kita mula berubah dengan wujudnya pendidikan secara formal dan proses urbanisasi di dalam negara kita. Wanita telah mula diberi peluang yang sama rata untuk bersekolah dan seterusnya bekerja sama seperti lelaki.

Hari ini Penglibatan dan peranan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara sememangnya tidak pernah dipertikai. Hampir dalam setiap sektor sama ada ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya, sumbangan wanita adalah begitu jelas sekali.

Malah, budaya hidup masyarakat di negara ini juga sudah menerima wanita sebagai penyumbang kepada ekonomi keluarga, apatah lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi seperti sekarang.

Namun demikian, apa yang akan saya kongsi di sini adalah wanita bekerja mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi apabila pada masa sama mereka memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri, surirumah dan ibu kepada anak-anaknya.

Terikat dengan pelbagai peraturan dalam sektor pekerjaan yang perlu dipatuhi termasuk waktu kerja yang tidak anjal, membuatkan mereka sukar memenuhi kesemua peranan tersebut dengan baik.

Tekanan pasti berganda apabila persekitaran serta orang sekeliling terutama majikan dan ahli keluarga tidak membantu bagi memudahkan lagi keadaan.

Sebagai contoh, tiada sokongan dari segi kemudahan pusat penjagaan anak di tempat kerja, waktu kerja yang panjang, pasangan atau suami yang kurang memahami beban kerja dan sebagainya.

Sebagai wanita bekerjaya yang mempunyai keluarga dan anak-anak, kami di JPW cukup memahami dilema yang dihadapi oleh golongan Hawa ini.

Namun demikian kami berpendapat bahawa halangan-halangan tersebut bukanlah sebagai alasan untuk seseorang wanita itu berjaya di dalam apa-apa bidang pekerjaan yang diceburi mereka.

Pada saya secara peribadinya, "Saya tidak nampak mengapa sebagai wanita, puan-puan tidak mampu menguruskan kedua-duanya, kerjaya dan keluarga, dengan baik.

Walaupun ada situasi yang menyedihkan berlaku apabila sesetengah wanita terpaksa membuat pilihan sehingga ada antara mereka yang terpaksa berpisah dengan suami dan anak-anak demi mengejar kerjaya dan tidak kurang pula yang berhenti kerja kerana ingin memenuhi tanggungjawab kepada keluarga.

Adalah tidak menjadi suatu kesalahan jika seseorang wanita itu mahu mengutamakan kerjaya, tetapi perlulah bijak membahagikan masa tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.

Kita juga tidak menafikan, ramai wanita bekerjaya bergantung penuh kepada pembantu rumah bagi membantu mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga. Namun, itu bukan bermakna puan-puan boleh lepas tangan kerana gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja hari ini kebanyakan berpunca daripada kurangnya perhatian ibu bapa pada anak-anak ini.

Puan-puan haruslah sedar bahawa kesibukan puan-puan dalam menguruskan kerjaya haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab puan-puan kepada rumah tangga.

"Tentunya seorang ibu memainkan peranan yang penting dalam melahirkan satu generasi yang berkembang baik dari aspek rohani dan jasmani".

Antara tip-tip ringkas yang boleh diikuti oleh wanita berkerjaya adalah;

memastikan bahawa pada setiap pagi akan bersama anak-anak tidak kira menghantar anak ke sekolah atau sekadar di hadapan pintu rumah sahaja sekalipun
melakukan aktiviti bersama-sama anak di rumah seperti menonton televisyen bersama suami dan anak-anak, makan bersama-sama, malah berkongsi minat dengan anak-anak. "Walaupun perkara tersebut nampak kecil, tetapi anak-anak akan menghargainya kerana kita memberi perhatian kepada mereka".


Puan-puan yang berkerjaya di luar sana, ingin juga saya ingatkan di sini bahawa, puan-puan hendaklah bersikap profesional. Masalah pejabat hendaklah tidak dibawa ke rumah. Begitu jua dengan masalah di rumah tidak dibawa ke tempat kerja sehingga mengganggu prestasi atau pun pekerja-pekerja menjadi mangsa ketidakpuasan hati mereka.
Sebagai wanita dan majikan perlu pandai menangani tekanan kerana perkara ini akan melibatkan semua orang di tempat kerja.
Jangan rendahkan martabat anda sebagai seorang wanita dengan berperangai sedemikian sehingga mengundang kata-kata buruk di belakang.
Imgat gelak-ketawa merupakan kaedah paling mudah dan terbaik untuk mengurangkan tekanan.
Kongsi jenaka bersama rakan sekerja dan belajar untuk berehat serta tidak memaksa badan melakukan tugas-tugas di luar kemampuan.
Dalam pada itu, ada juga wanita yang terlalu memuaskan hati orang di sekeliling, tetapi tidak pada diri sendiri.
Tanggapan mereka supaya apa yang mereka lakukan itu dapat menggembirakan majikan, rakan sekerja, atau anak-anak di rumah perlu diutamakan, itu perlu diubah kerana diri sendiri perlu diberi penghargaan dahulu.
Kita bekerja keras siang dan malam semata-mata mahu puaskan hati orang adalah sangat tidak berbaloi. Sekurang-kurangnya, hargai diri anda dahulu sebelum memuaskan hati orang lain.
Cukup sekadar kita meluangkan masa di spa, membeli-belah, atau keluar bersama rakan-rakan dan perkara ini akan membuatkan anda sentiasa berasa gembira untuk terus bekerja walaupun mempunyai tanggungjawab di rumah.
Tentunya kepada golongan wanita bekerjaya yang bergelar ibu, amat memerlukan tempat kerja mesra ibu, yang memberikan perkhidmatan penjagaan anak-anak yang berkualiti dan selamat dengan kos yang mampu ditanggung.
Jika halangan sebegini tidak mampu diuruskan dengan baik oleh pihak sewajarnya, maka amatlah rugi kepada negara kerana tidak menggunakan kepakaran dan kemahiran yang mereka miliki untuk membantu mengembangkan lagi pembangunan negara dan kepekaan mereka terhadap keperluan pekerja wanita perlulah diutamakan.

Comments

Popular posts from this blog