WAWANCARA BERSAMA



(a)  Peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kes remaja/ belia yang terlibat dalam salah laku seks bebas

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius akan kejadian perilaku seks bebas di kalangan remaja/ belia yang semakin berleluasa ini. Tindakan perlakuan seks bebas merupakan satu masalah sosial yang memerlukan perhatian segenap lapisan masyarakat dan perlu ditangani dengan segera.

Dalam usaha membendung kejadian sebegini daripada terus berleluasa JKM telah membangunkan program pencegahan bagi mengelakkan perlakuan seks bebas dan gejala sosial seperti berikut:
(i)      Mewujudkan sebanyak 135 Pasukan Perlindungan Kanak-kanak (PPKK) dan 149 buah Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) bagi menyelaraskan perkhidmatan sokongan kepada keluarga dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan sosial termasuklah mengadakan program advokasi serta intervensi yang diadakan seperti seminar, bengkel, ceramah, kursus, motivasi, bimbingan serta kaunseling;
(ii)     Melaksanakan program pencegahan melalui penglibatan ahli masyarakat setempat dalam organisasi akar umbi melalui 118 buah Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah (JKKD);
(iii)   JKM yang di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah terlibat secara langsung melancarkan kempen “Kami Prihatin” bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya seks bebas iaitu sehingga mengakibatkan perbuatan membuang bayi;
(iv)    Selain itu, JKM juga telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan baby hatch atau pusat pelindung bayi yang bertujuan menyelamatkan bayi yang tidak diingini oleh ibu-ibu yang terdesak; dan
(v)    Perkhidmatan Talian NUR 15999 turut diperluaskan bagi menerima aduan daripada remaja dan wanita yang terlibat dalam salah laku seks bebas untuk mendapatkan khidmat nasihat atau kaunseling

JKM dan juga agensi-agensi di bawah KPWKM yang lainnya telah sama-sama berperanan dalam melaksanakan usaha membendung masalah perlakuan seks bebas termasuklah langkah-langkah pendidikan seperti berikut:
             i.            Dari segi dasar, terdapat Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dan Pelan Tindakannya. Dasar ini bertujuan untuk membangun individu dalam masyarakat terutama golongan muda supaya mempunyai sikap dan perilaku yang positif terhadap kesihatan reproduktif dan sosial. Pelaksanaan PKRS ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan golongan muda sendiri;
            ii.            Bekerjasama dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk mengintegrasi modul PKRS kepada pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN);
           iii.            Bekerjasama dengan Universiti Utara Malaysia dengan memperkenalkan modul tingkah laku berisiko tinggi yang telah diintegrasikan ke dalam silibus Kokurikulum Pembangunan Keluarga. Kokurikulum yang bersifat berkredit wajib diambil oleh pelajar bagi tempoh semester pertama hingga semester empat dilengkapkan dengan pelbagai aspek pembangunan keluarga meliputi kemahiran kekeluargaan, keremajaan, pengurusan kewangan keluarga dan kendiri yang akan memberi nilai tambah pada siswa dalam ilmu kemasyarakatan dan kesukarelaan di samping penerapan nilai kemahiran insaniah;
          iv.            Mengadakan perbincangan dengan  Kementerian Pelajaran untuk mengintegrasikan PKRS ke dalam pendidikan sekolah. Usaha ini dijangka dapat menambah nilai kepada usaha Kementerian Pelajaran memulakan PKRS kepada pelajar-pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 melalui strategi advokasi, pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan serta pemantauan dan penilaian; dan
           v.            Meningkatkan kemahiran keibubapaan menerusi program-program seperti SmartStart, Modul Kasih dan Program Parenting@Work yang dijalankan di tempat kerja bagi menangani kesukaran yang dihadapi oleh ibu bapa menghadiri kursus di luar pejabat atas faktor kesibukan serta komitmen terhadap keluarga dan sebagainya.

(b) Program pemulihan akhlak oleh JKM
Program-program yang dijalankan oleh JKM untuk memastikan golongan sasaran ini mendapat jagaan, pemulihan serta bimbingan agar terbela dan masa depan mereka terjamin. Kanak-Kanak atau remaja yang di tempatkan ke institusi perlindungan atau melalui pemulihan luar JKM mendapat program pemulihan akhlak seperti berikut;
1. Pemeliharaan, Perlindungan dan Pemulihan
Kanak-kanak yang diperintahkan atau memohon masuk ke institusi JKM disediakan dengan kemudahan tempat tinggal yang lengkap dengan penyediaan setiap kanak-kanak satu katil dan gerobok. Makanan yang disediakan setiap hari kepada kanak-kanak adalah berdasarkan menu yang telah mendapat syor Kementerian Kesihatan berdasarkan skala pemakanan sihat dan peruntukan perbelanjaan mengurus untuk makan adalah sebanyak enam kali sehari. Pakaian harian dan untuk majlis-majlis keraian juga adalah disediakan oleh pihak institusi.

Adalah menjadi tanggungjawab institusi untuk memastikan keadaan kesihatan kanak-kanak sentiasa dijaga dan dipantau dengan membawa kanak-kanak untuk pemeriksaan kesihatan dan terdapat juga doktor pelawat yang datang ke institusi untuk memastikan keadaan institusi dan kanak-kanak adalah baik dan terkawal. Begitu juga dengan keperluan harian kanak-kanak seperti ubat gigi, berus gigi, sabun, tuala dan sebagainya adalah disediakan. Walaupun begitu bagi ibu, bapa atau penjaga yang ingin menyediakan sendiri kelengkapan untuk kanak-kanak di institusi boleh juga berbuat demikian.

2. Bimbingan dan Kaunseling
Di setiap institusi JKM disediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang dikendalikan oleh kaunselor berdaftar untuk menjalankan sessi kaunseling individu, kelompok, kerjaya & keluarga. Terdapat juga kanak-kanak atau keluarga yang diperintahkan untuk menjalani Bengkel Interaktif di institusi bagi memastikan proses pemulihan dan perkembangan kanak-kanak bersama keluarga dan masyarakat. Selain daripada itu terdapat juga terapi pemulihan, muzik, morning meeting & program pembimbing rakan sebaya, House talk & temubual indvidu yang dijalankan oleh kaunselor.

3. Sukan dan Rekreasi
Di setiap institusi kanak-kanak ada menyediakan kawasan untuk kanak-kanak bermain bolasepak, badminton, sepak takraw, bola tampar dan sebagainya. Di samping itu terdapat juga aktiviti untuk permainan sukan dalaman, program lawatan, sessi karaoke, Jungle Trekking, Edible Garden, Jamboree dan sebagainya.

4. Kelas Asas Fardhu Ain
Kanak-kanak di institusi diwajibkan hadir dan mengikuti kelas Asas Fardhu Ain. Melalui kelas ini, kanak-kanak akan diajar dan diterapkan dengan pelbagai ilmu agama seperti Fekah, Tauhid, Tajwid dan Ibadah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan agama kepada mereka. Program ini penting sebagai salah satu pemulihan secara kerohanian dalam diri kanak-kanak.

5. Kem Tranformasi Jati Diri dan Minda
Melalui program ini kanak-kanak di institusi akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan motivasi dan semangat mereka utntuk berubah menjadi kanak-kanak yang lebih berfikiran positif dan mempunyai akhlak yang mulia. Kebiasaannya program ini akan diadakan diluar institusi selama 3 hari untuk memberi pengalaman baru dan berbeza kepada kanak-kanak.

6. Program Kunjungan Kasih
JKM melalui Bahagian Kanak-kanak telah merancang secara tahunan program Kunjungan Kasih ini di setiap institusi kanak-kanak bagi mewujudkan hubungan dan mengeratkan silaturrahim antara kanak-kanak. Selain dari ziarah, semasa program ini akan diadakan ujian fardhu ain disamping beberapa aktiviti penerapan nilai-nilai murni seperti ceramah, kaunseling, solat sunat dan panduan zikir.

7. Seminar Bijak Belajar dan Motivasi Pelajar
JKM tidak pernah mengabaikan masa hadapan kanak-kanak di institusi yang akan mengambil peperiksaan utama pada setiap tahun seperti UPSR, PMR dan SPM. Oleh itu, Seminar Bijak Balajar dan Motivasi Pelajar diadakan setiap tahun untuk membantu kanak-kanak ini memahami kaedah dan teknik belajar yang betul serta meningkatkan motivasi diri mereka.

8.  Program Latihan Kemahiran di Institusi
Institusi perlindungan dan pemulihan JKM juga mengendalikan program latihan kemahiran bagi kanak-kanak institusi yang keciciran dalam bidang akademik. Seramai kira-kira 60 peratus kanak-kanak di institusi mengikuti program latihan kemahiran. Program latihan kemahiran merangkumi beberapa bidang iaitu:
·         Automotif
·         Elektrik
·         Kimpalan
·         Binaan Bangunan
·         Masakan (Bakeri)
·         Jahitan
·         IT
Program latihan kemahiran yang dijalankan di institusi kanak-kanak JKM adalah berteraskan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) yang diselaraskan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Semua modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) dibangunkan berpandukan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau National Occupational Skills Standard (NOSS). Selain daripada itu, kanak-kanak di institusi juga mengikuti program latihan kemahiran secara modular. Antara program yang dijalankan secara modular ialah:
·         Kraftangan (cenderamata)
·         Lukisan batik dan Kaca
·         Menggunting rambut
·         Simen Ferro
·         Komputer

9. Kelas Akademik
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak pernah mengabaikan masa hadapan kanak-kanak walaupun mereka berada di insitusi Kebajikan Masyarakat. Kanak-kanak tersebut akan mengikuti kelas akademik secara formal sama seperti kanak-kanak lain di sekolah yang berhampiran dengan institusi berkenaan. Selain itu, bagi kes-kes tertentu, terdapat juga kanak-kanak tetap yang akan mengikuti kelas-kelas akademik di dalam insitusi tersebut.
Malah kanak-kanak ini juga, akan mengambil peperiksaan utama seperti UPSR, PMR dan SPM dan terdapat kanak-kanak berkenaan telah mencapai keputusan peperiksaan yang memberangsangkan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Berdasarkan rekod terdapat kanak-kanak institusi Kebajikan Masyarakat yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), ATMA, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP)

Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah melatih ramai kakitangannya untuk mengendalikan Kelas KIA 2M. Hasilnya kanak-kanak di institusi Kebajikan Masyarakat mendapat manfaat setelah mengikuti Kelas KIA 2M ini.

(c)  Kerjasama JKM dengan masyarakat dalam menangani tingkah laku seks bebas

JKM ingin menjelaskan bahawa tanggungjawab bagi menangani gejala ini bukan hanya terletak di atas bahu JKM ini semata-mata. Sebaliknya kerjasama dan penglibatan multisektoral dari kementerian dan agensi kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Agama Islam, Pertubuhan  Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Kesihatan Reproduktif Persekutuan Malaysia dan sektor korporat. Selain itu, setiap anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk bersama mengambil segala usaha membendung masalah ini daripada terus berleluasa.

Setakat ini JKM telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan lapisan masyarakat dalam cuba membendung gejala tingkah laku seks bebas ini, antaranya adalah;
·        Kementerian Kesihatan Malaysia
·        Kementerian Pelajaran Malaysia
·        Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
·        Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
·        Jabatan Agama Islam
·        Jabatan Latihan Khidmat Negara
·        Persatuan Kesihatan Reproduktif Persekutuan Malaysia
·        Persatuan Perancang Keluarga Malaysia
·        Persatuan Karyawan
·        Utusan Malaysia
·        ASTRO
·        Dan lain-lain

(d)  Maklumat dan statistik terkini kes-kes yang ditangani oleh JKM
Mengikut statistik JKM, pada tahun 2009 sebanyak 152 kes yang memerlukan perlindungan dan pemulihan telah dilaporkan. Bagi tahun 2010, kes telah meningkat kepada 163 kes iaitu peningkatan sebanyak 10.7 peratus. Seterusnya pada tahun 2011, sebanyak 166 kes telah dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 10.9 peratus. Pada tahun 2012 sebanyak 137 kes telah dilaporkan dan sehingga bulan Mac  2013 pula, sebanyak 163 kes yang dilaporkan.  Kes-kes yang dilaporkan ini meliputi kes yang memerlukan kanak-kanak dipulihkan di institusi yang bersesuaian iaitu Taman Seri Puteri.
          Di samping itu, kes kanak-kanak yang Tidak Terkawal terutamanya kanak-kanak perempuan juga harus diberi perhatian yang sewajarnya. Statistik JKM menunjukkan seramai 486 orang  kanak-kanak dilaporkan tidak dapat dikawal oleh ibu bapa mahu pun penjaga pada tahun 2009. Manakala pada tahun 2010 sebanyak  479 kes dan menurun kepada 407 kes pada tahun 2011. Pada tahun 2012 kes meningkat kepada 520 kes dan sehingga Mac 2013 sebanyak 40 kes telah dilaporkan tidak terkawal.  
          Statistik yang dipaparkan menunjukkan keseriusan masalah sosial yang melibatkan kanak-kanak. Jika dibandingkan dengan populasi kanak-kanak di Malaysia peratusannya memang agak kecil, namun begitu demi kepentingan terbaik kanak-kanak adalah diharapkan semua perkara yang memudaratkan kanak-kanak tidak seharusnya berlaku.

Comments

Popular posts from this blog