Hentikan Membuli!

Intervensi awal dan efektif boleh membantu anda menghentikan masalah buli di sekolah anak anda.

Oleh Cik Woo Pei Jun, Pakar Psikologi Perkembangan.

Memahami Buli

Buli boleh dilihat sebagai sesuatu perbuatan, samada secara lisan, psikologi atau fizikal, yang bertujuan untuk menyakiti seseorang yang lebih lemah. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa perlakuan membuli berbeza mengikut jantina di mana budak lelaki lazimnya akan menggunakan serangan fizikal manakala budak perempuan pula menggunakan bentuk yang lebih halus seperti serangan verbal. Contoh-contoh pembulian psikologi termasuk – mengasingkan mangsa pembuli, menyebar desas-desus, dan memusnah atau menyembunyi barang-barang kepunyaan mangsa pembuli.

Mangsa-mangsa Pembuli

Secara lazimnya, terdapat dua jenis mangsa pembuli:

a) Mangsa pembuli yang pasif/submisif: Secara lazimnya, mangsa-mangsa pembuli ini lebih cemas dan berasa tidak selamat jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang lain. Mereka selalunya berwaspada, sensitif dan senyap. Apabila diserang, mereka biasanya memberikan reaksi seperti menangis ataupun menyisihkan diri. Mereka juga kurang yakin pada diri sendiri dan mempunyai pandangan negatif pada dirinya sendiri. Di samping itu, mereka juga merasa sunyi, diasingkan di sekolah, dan tidak mempunyai kawan baik dalam kelas.

b) Mangsa pembuli yang provokatif: Mangsa-mangsa in menggambarkan kombinasi corak-corak reaksi yang agresif dan cemas. Mereka selalunya mempunyai masalah menumpukan perhatian dan kelakuan yang boleh mengakibatkan kejengkelan dan ketegangan. Kadang-kala, kelakuan ini boleh membangkitkan reaksi-reaksi negatif daripada pelajar-pelajar lain.


Apa yang Boleh Dilakukan oleh Orang Dewasa

Campur tangan awal adalah penting setelah berjaya mengenal pasti suatu tindakan membuli. Anda boleh menggunakan sesetengah cadangan berikut jika mendapati anak anda merupakan seorang mangsa buli atau pembuli.

Cadangan untuk sekolah anak anda:

  • • Bentuk peraturan sekolah dan berkongsi pendapat untuk menangani buli. Menerangkan bagaimana buli boleh mendatangkan kesan negatif kepada mangsa mungkin akan menyebabkan kanak-kanak berhenti dan berfikir tentang tingkah laku membuli mereka.
  • • Kenal pasti zon-zon merah di sekolah yang paling banyak berlakunya kes buli supaya guru dan pihak berkuasa sekolah boleh memantau kawasan-kawasan ‘panas’ tersebut.
  • • Kenal pasti pembuli dan mangsa dari awal dan laporkan tingkah laku mereka kepada ibu bapa masing-masing supaya dapat bersama-sama menangani masalah tersebut.

Cadangan untuk ibu bapa:

  • • Berkongsi dan berbincang dengan pihak sekolah tentang tingkah laku membuli atau pemangsaan anak anda. Anda juga boleh melibatkan diri dalam program sekolah untuk mengatasi masalah buli.
  • • Jadilah teladan yang baik untuk anak anda semasa berinteraksi dengan orang lain agar anak anda belajar untuk menghormati rakan sebaya mereka.
  • • Galakkan anak anda mempunyai seorang rakan rapat kerana sokongan daripada rakan rapat mungkin akan menampan kesan pemangsaan.

Comments

Popular posts from this blog