Tazkirah Pagi...‏

Assalammualaikum WBT..



Melengahkan Solat



Disebutkan dalam satu hadith dalam Kitab Bukhari bahawa adalah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW selepas solat subuh, Baginda akan bertanya kepada para sahabat, " Adakah sesiapa yang bermimpi pada malam tadi?" Jika ada di kalangan mereka yang bermimpi, maka mereka akan menceritakan mimpi itu kepada Baginda SAW dan Baginda SAW akan menafsirkan mimpi itu. Pada suatu pagi, seperti biasa Baginda SAW akan bertanya kepada para sahabat. Kemudian Baginda SAW sendiri bersabda, " Semalam saya bermimpi dua orang datang lalu membawa saya pergi bersama mereka." Kemudian Baginda SAW menceritakan satu mimpi yang panjang. Antara yang dilihat oleh Baginda SAW ialah syurga, neraka dan manusia yang diazab dengan berbagai- bagai jenis seksaan dalam neraka. Daripada keseluruhan azab yang dilihat, antaranya ialah seorang yang dihancurkan kepalanya dengan batu dan dihentak begitu kuat sehingga batu tersebut terpelanting jauh. Semasa batu itu diambil semula, kepala itu kembali menjadi seperti sedia kala dan sekali lagi dia dipukul dengan begitu kuat dan demikianlah penyeksaan itu berterusan. Baginda SAW bertanya kepada kedua-dua temannya (dua malaikat), " Siapakah orang ini? Mereka menjawab:



" Orang ini pernah belajar Al-Quran dan dia tidak mengamalkannya dan dia tidur tanpa mengerjakan solat fardhu"



Diberitakan dalam sebuah hadith yang hampir serupa dengan hadith diatas, bahawa Rasulullah SAW telah bermimpi melihat segolongan manusia yang diseksa dengan cara yang sama sebagaimana yang disebutkan diatas. Selepas ditanya oleh Baginda SAW, Jibril a.s memberitahu bahawa mereka itu ialah orang-orang yang melengah-lengahkan solat (at-Targhib).



Hazrat Mujahid r.a berkata," Sesiapa yang mengambil berat untuk mengetahui waktu solat maka mereka akan mendapat keberkatan sepertimana keberkatan yang dilimpahkan ke atas Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya (Dur rul-Mansthur)



Diriwayatkan daripada Hazrat Anas r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, " Sesiapa meninggal dunia dalam keadaan beriman dengan ikhlas, melakukan amal ibadat, menunaikan solat, membayar zakat maka dia akan meninggal dunia dalam keadaan dia diredhai oleh Allah SWT.



Petikan: Fadhilat Amal, Shaikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Rahmatullahi'alaih

Comments

Popular posts from this blog