Assalammualaikum WBT…

10 Wasiat Nabi kepada Muaz

Diriwayatkan daripada Hazrat Mu’az bin Jabal r.a katanya, ” Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepada saya mengenai sepuluh perkara:

1. Jangan menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apapun, walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar

2. Jangan kamu menderhakai kedua-dua ibu bapa kamu, meskipun mereka menyuruh kamu berpisah dengan isteri dan harta benda kamu

3. Janganlah kamu meninggalkan solat fardhu dengan sengaja kerana sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas daripada tanggungjawab Allah SWT

4. Jangan sesekali meminum arak kerana perbuatan ini adalah punca segala maksiat

5. Jauhilah diri kamu daripada perbuatan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT

6. Jangan lari dari medan pertempuran, walaupun semua rakan kamu telah terbunuh

7. Jangan berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak yang sedang merebak seperti taun dan sebagainya

8. Belanjalah untuk keluarga kamu mengikut kemampuan kamu

9. Jangan kamu mengelak daripada merotani anak-anak sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik

10. dan takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah SWT

(Hadith riwayat Imam Ahmad dan Thabrani)

Keterangan

” Jangan mengelak daripada merotani…” bermaksud jika anak-anak tidak dirotan, mereka akan melakukan sesuatu mengikut sesuka hati mereka tanpa berasa risau walau sedikit pun. Ini kerana tiada sesiapapun yang memberikan teguran dan tidak pula memukul mereka. Sedangkan sekaki sekala mereka perlu dipukul sekadar yang dibenarkan dalam hukum syara’ kerana jika tidak dipukul langsung, biasanya mereka kurang terdidik. Dewasa ini, kerana terlalu sayangkan anak, ibu bapa tidak memberi sebarang amaran dan peringatan kepada anak-anak sejak daripada peringkat awal lagi. Setelah mereka menjadi sebati dengan kelakuan yang buruk, barulah kita mula mengadu hal mereka. Ini bukan tanda sayangkan anak. Tidak mencegah mereka daripada melakukan perbuatan yang buruk dan menganggap merotani anak-anak bertentangan dengan sifat kasih sayang, merupakan satu kesilapan yang besar terhadap mereka. Bolehkah seseorang yang bijak sanggup membiarkan penyakit bisul yang dialami oleh anaknya merebak dan tidak membenarkan anaknya menjalani pembedahan kerana takut akan menyusahkan dan melukakan anaknya dengan pisau pembedahan? Sudah tentu dia sanggup membenarkan anaknya dibedah walaupun anaknya menangis dan tidak mahu dirawat.

Terdapat banyak dalam hadith bahwa Rasulullah SAW menyarankan ibu bapa supaya menyuruh anak-anak yang berumur tujuh tahun mendirikan solat dan merotani anak-anak yang berumur sepuluh tahun jika mereka masih tidak mahu mendirikan solat.

Hazrat ‘Abdullah bin Mas’ud r.a berkata, :

“Awasilah solat anak-anak , didiklah mereka dengan budi pekerti dan tingkah laku yang baik”

Hazrat Lukmanulhakim a.s berkata, :

“Pukulan seorang ayah terhadap anak-anaknya adalah seumpama air bagi sawah” (Dur al-Manthur)

Rasulullah SAW bersabda bahawa memberi peringatan kepada anak-anak lebih baik daripada menyedekahkan satu saa’ gandum ( lebih kurang 3kg). Dalan satu hadith, Rasulullah SAW bersabda, :

“Semoga Allah SWT merahmati seseorang yang menggantung tali cambuk di dalam rumahnya untuk memberi peringatan kepada ahli keluarganya”

Dalam sebuah hadith lagi, Rasulullah SAW bersabda, :

“Tidak ada sesuatu pemberian hadiah yang lebih baik daripada seorang bapa kepada anaknya melainkan mengajarkan budi pekerti yang baik kepada mereka” (Jami’ al- Shaghir)

Petikan: Fadhilat Amal, Shaikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Rahmatullahi’alaih

Comments

Popular posts from this blog